Search SYABAS  

PENJELASAN KERJA-KERJA PEMBAIKAN PAIP UTAMA PECAH BERHAMPIRAN LEBUHRAYA WEST COAST EXPRESSWAY BANTING-TAIPING DAN STATUS PEMULIHAN BEKALAN AIR

 

SIARAN MEDIA

10 MEI 2019

 

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, ahli Kumpulan Air Selangor, ingin menjelaskan status kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan ekoran insiden tiga paip utama pecah berhampiran projek Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

 

Seperti yang dimaklumkan, Air Selangor telah mula membuat persiapan bagi  proses kerja-kerja pembaikan sejurus berlakunya kejadian pada malam Sabtu, 4 Mei 2019.

 

Pihak kami dengan kontraktor yang dilantik telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan secara berterusan tanpa henti dan kerja-kerja pembaikan paip utama 1400mm siap pada jam 6:00 petang, Selasa 7 Mei 2019.

 

Pada ketika itu, pihak kami mensasarkan pemulihan dalam tempoh 24 jam sejurus kerja-kerja siap dan bekalan diaktifkan. Walau bagaimanapun, apabila bekalan diaktifkan, telah berlaku kebocoran di beberapa lokasi lain di jajaran paip utama tersebut. Ini telah mengakibatkan tempoh masa pemulihan yang disasarkan tidak dapat dicapai. Pihak kami terpaksa melakukan penutupan semula bekalan di sistem utama.

 

Ingin juga dimaklumkan telah berlaku insiden pergerakan tanah beberapa kali sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan dan ini juga menyumbang kepada kelewatan kerja.

 

Berdasarkan keadaan dan situasi di tapak, pihak kami mendapati adalah berisiko untuk meneruskan kerja-kerja pembaikan yang berkemungkinan besar akan mengakibatkan insiden yang lebih kritikal jika kerja-kerja pembaikan ini diteruskan di lokasi yang sama.

 

Memahami kesulitan pelanggan-pelanggan yang terjejas ekoran insiden ini, pihak kami telah mengambil keputusan untuk melaksanakan tindakan alternatif bagi penyaluran bekalan air melalui sistem agihan yang lain dari sumber air terawat yang sama iaitu dari Kolam Lam Bee ke Kolam Lipat Kajang dan Kolam Bukit Rajah Industri.

 

Dengan tindakan ini, pihak kami telah dapat memulakan pemulihan bekalan air secara berperingkat seawal Rabu, 8 Mei 2019 dan mensasarkan 45 kawasan yang menerima bekalan dari Kolam Terminal Lipat Kajang akan pulih berperingkat dengan sasaran pemulihan  sepenuhnya pada hari Khamis 9 Mei 2019, jam 1:00 tengah hari manakala, bagi pelanggan yang menerima bekalan melalui Kolam Bukit Rajah Industri, disasarkan pulih secara berperingkat dengan pemulihan keseluruhan disasarkan pada jam 3 petang hari ini, Jumaat 10 Mei 2019.

 

Walau bagaimanapun ekoran penggunaan dan penyimpanan bekalan oleh pengguna yang telah pulih menyebabkan masa pemulihan perlu dilanjutkan. Oleh yang demikian, sasaran awal yang pihak kami umumkan sebelum ini tidak lagi boleh dicapai.

 

Berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan pada pagi ini, 69% dari jumlah keseluruhan  65 kawasan yang terjejas telah pun kembali pulih.

 

Pihak kami sedang berusaha untuk memulihkan baki 31% kawasan selewat-lewatnya pada hari Ahad 12 Mei 2019.

 

Sebagai langkah jangka masa panjang dan memulihkan kembali sistem bekalan ke kawasan-kawasan ini, pihak kami dengan kerjasama beberapa agensi seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Lebuhraya Grand Sepadu dan lain-lain telah melaksanakan kerja-kerja pemasangan dan pengalihan paip utama 1400mm tersebut bermula malam tadi dan dijangka siap pada hari Ahad 12 Mei 2019.

 

Air Selangor ambil maklum perhatian semua pihak dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami kepada semua pelanggan yang terjejas.

 

Dengan penjelasan ini adalah diharapkan dapat menerangkan keadaan dan situasi insiden. Kami akan terus mengerakkan bantuan lori-lori tangki dengan memfokuskan kepada kawasan yang masih belum pulih dan meneruskan pengoperasikan 4 Pusat Khidmat Setempat di lokasi-lokasi berikut:

 

1. PKS Bandar Sultan Suleiman  - Masjid As-Saadah, Lingkaran Sultan Abd Samad 2

2. PKS Bandar Parkland - Taman Rekreasi, Jalan Delima 8

3. PKS Taman Sri Andalas - Tapak Parkir Taman Rakyat, Jalan Tun Dr. Ismail

4. PKS Batu Belah - sebelah Aeon Big, Jalan Kapar

 

Air Selangor ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat, khususnya pelanggan yang terjejas dan menasihatkan pelanggan di kawasan yang  pulih utuk menggunakan air dengan berhemat bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan bekalan ke semua kawasan.

 

 

Dikeluarkan oleh: Abdul Raof Ahmad,

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi              

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd