Search SYABAS  

Bekalan air di Klang Pulih Sepenuhnya

14 MEI 2019

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor ingin memaklumkan bahawa bekalan air telah pulih sepenuhnya di kesemua kawasan di Klang  yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden tiga paip utama pecah berhampiran projek Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

 

Kami  mohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini dan  tidak dapat menepati sasaran awal jadual kerja pembaikan dan tempoh pemulihan bekalan yang disasarkan.

 

Ini adalah disebabkan kerumitan perlaksanaan kerja-kerja pembaikan yang perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dengan keadaan tapak pembaikan  yang berisiko tinggi bagi mengelakkan  perkara-perkara yang tidak di ingini kepada pekerja dan aset aset di tapak.

 

Sepanjang kerja-kerja pembaikan awal yang dilaksanakan,  telah juga berlaku  pergerakkan tanah dan kebocoran di lokasi lain di jajaran paip yang sama.

 

Situasi ini telah menyebabkan kerja-kerja pembaikan dan  pemulihan bekalan air yang disasarkan tertunda beberapa kali.

 

Sehubungan itu bagi mengurangkan impak gangguan kepada pelangan yang terjejas pihak kami telah mengambil tindakan segera bagi  memulihkan bekalan melalui sistem bekalan alternatif dan melaksanakan  kerja-kerja pemasangan dan pengalihan jajaran paip baharu 1400mm yang telah pun siap pada jam 3:00 petang, Isnin 13 Mei 2019.

 

Pemasangan jajaran paip baharu ini merupakan penyelesaian kekal bagi penyaluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan dari Kolam Lipat Kajang dan telah dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat dan pemulihan sepenuhnya ke semua kawasan yang terjejas.

 

Pihak kami  juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kerja Air Selangor dan kontraktor lantikan kami yang bekerja 24 jam sehari tanpa henti sejak bermulanya insiden paip-paip utama ini pecah pada 4 Mei 2019.

 

Penghargaan juga kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang telah memberikan kerjasama serta panduan kepada kami. Tidak ketinggalan, sokongan yang diberikan Kerajaan Negeri Selangor, wakil-wakil rakyat, persatuan penduduk dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan kerjasama amatlah dihargai.